Ramai yang berkata tentang ikhlas, ada yang mempertikaikan keikhlasan seseorang, ada pula yang mendakwa tindakannya dibuat secara ikhlas. Apa sebenarnya ikhlas? Benarkah manusia, khususnya umat Islam di dunia kini terlalu kurang keikhlasan?. Ikhlaskah diri kita dalam berdakwah, berpolitik, menulis, bercerita, belajar, mengajar, mendidik dan berniaga?.
Ini satu persoalan yang besar di sisi Islam dan keikhlasan memerlukan satu mujahadah besar. Ia tidak mudah dan hanya mampu dicapai KECUALI oleh mereka yang benar-benar telah berjaya menanggalkan kecintaan kepada semua jenis makhluk, sama ada ia adalah pangkat, pujian, harta, dianggap selebriti, wang dan kebanggaan.
Allah swt meningatkan :-
قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ
Ertinya : Katakanlah: ""Sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama ( Az-Zumar : 11)
Nabi s.a.w pula bersabda :-
إن الله لا يقبل من العمل إلا ما كان له خالصًا، وابتغي به وجهه
Ertinya : Sesungguhnya Allah swt tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya ( Al-Bukhari, no 97, kitab al-Ilm)
APA ITU IKHLAS?
Imam Abu al-Qasim Al-Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memeberikan definisi Ikhlas sebagai:-
إفراد الحق سبحانه في الطاعة بالقصد، وهو: أنه يريد بطاعته التقرب إلى الله سبحانه دون أي شيء آخر؛ من تصنع لمخلوق، أو اكتساب محمدة عند الناس، أو محبة مدح من الخلق، أو معنى من المعاني سوى التقرب به إلى الله تعالى، ويصح أن يقال: الإخلاص تصفية الفعل من ملاحظة المخلوقين
Ertinya: Ikhlas adalah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala segala perhatian manusia. ( Al-Risalah al-Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)
Ertinya: Ikhlas adalah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala segala perhatian manusia. ( Al-Risalah al-Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)
Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah swt, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah swt kelak.
Ada yang berkata, ketidakiklasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut melalui cakap-cakap dan kata-katanya, dari tulisan melalui baris ayatnya, dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya.
Apapun, persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.
PENDAKWAH MELALUI CERAMAH
Pendakwah melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar,
Bukan kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, itu tidak mencabar,
Atau di kurung melalui akta ISA kerana sebab yang sepatutnya anda faham,
Dibuang kerja kerana dakwahnya menentang arus politik kerajaan atau membelakangkan AUKU,
Sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang ‘jatuh' kerana beberapa ada tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas' kerana Allah swt iaitu :-
· Keujuban di dalam diri : Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang berkorban persis Nabi Ibrahim a.s apabila mereka ditangkap, dipenjara dan didenda oleh pihak yang menghalang dakwah.
Malangnya, ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah. Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya.
Lebih menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah dari hatinya.
· Imbuhan dan bayaran : Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah s.a.w. Namun lama kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi semakin terhakis.
Populariti menjadikannya semakin ‘sakit' di sisi Allah. Sebarang ceramah tanpa bayaran atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang menjemput. Di ketika itu, Imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah swt dalam hatinya.
· Kecintaan kepada pujian : Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar, jika pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan dimainkan.
Jika pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan dipersembahankan,
jika pendengar sukakan ‘nota kaki' dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung.
Benar, ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah swt, namun tidak sedikit yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat,
‘Hebat', ‘Alim', ‘Pakar' ‘Bijak', ‘Best', ‘Sarjana', ‘Setaraf Tok Guru', ‘Persis Mujtahid' dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh Syatian setiap hari.
Di benak para pendakwah melalui ceramah ini, sentiasa berusaha untuk ikhlas kerana Allah, namun Syaitan sentiasa berjuang merosakkan ikhlasnya dengan apa yang tersebut di atas malah berpuluh lagi cara. Ya Allah, alangkah mencabar dan sukarnya untuk mengekalkan keikhlasan dalam perjuangan melalui medium ceramah.
PENDAKWAH MELALUI TULISAN
Ada di kalangan insan yang soleh lagi baik ini, tidak berkemampuan dalam bertutur lancar dan menawan. Namun dianugerahi kelebihan menulis yang baik dan mengkagumkan. Lalu pendawkah ini mula mengorak langkah menulis buku-buku, membuka web sendiri dan blog, menyebar ilmu melalui tulisannya di forum-forum maya, majalah, buletin dan sebagainya.
Niatnya hanyalah satu, iaitu menyebarkan ilmu bagi mendekatkan manusia kepada Allah swt, redha Allah adalah objektif.
Namun, dari semasa ke semasa, objektif unggul itu boleh sahaja menjadi pudar akibat :-
a- Royalti dan Honorium
Hasrat dunia sekali lagi boleh menjadi penghalang bagi seseorang penulis untuk istiqamah dalam keikhlasan. Royalti dan honorium sudah mengambil tempat ‘Kerana Allah', tujuan dan objektif tertinggi yang sepatutnya ‘Akhirat' sudah berubah nama kepada ‘Dunia'
"Jika demikian, kita menulis secara percuma, menyerahkan manuskrip buku kepada penerbit tanpa perlu sebarang royalti dan honorium" Demikain tegas beberapa rakan pendakwah, berusaha mencapai penerusan dalam ikhlas. Mujahadah dan menjerat nafsu agar tunduk kepada niat yang tulus ikhlas.
"Tidak semestinya berjaya juga, ikhlas tidak semestinya tanpa bayaran dan honorium, ia di dalam hati" Terang saya mengingatkan diri.
Matanya mula berkerut mendengar ayat ringkas saya itu. Namun akhirnya dia terangguk-angguk tanda faham tanpa memerlukan penjelasan lanjut. Manakan tidak, seseorang mungkin boleh membuang semua habuan harta itu untuk mencapai ikhlas, namun ikhlas belum tentu boleh wujud semudah itu.
Perasan diri ‘hebat', ‘merasa diri ikhlas kerana tidak mengambil habuan harta', rasa diri lebih ikhlas dari mereka yang menerima royalti, suka dan gembira menerima pujian orang sekeliling yang mengisbatkan dirinya sebagai ikhlas kerana tidak mengambil royalti dan honorium juga adalah ‘pembunuh' sebuah keikhlasan yang tulen.
Sebenarnya keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima imbuhan wang hasil penulisan dan ceramahnya, atau juga sebaliknya. Apa yang terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya.
Jika honorium dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia masih boleh mengekalkan Ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.
Jika pujian dan apa jua pujian orang terhadap penulisannya dan ketegasannya sehingga menolak sebarang bayaran hasil tulisan dan ceramahnya itu tidak berbekas di hati dan bermuzik indah di mindanya. Ia telah ikhlas.
Itu tandanya apa juga yang dari manusia sudah tidak memberikan kesan kepada hatinya, hanya redha dan cinta Allah yang ditagihinya. Yang lain hanyalah sampingan, wujud dan tiadanya tidak memberi kesan kepada jiwa.
Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang tertanggung ke atas dirinya. Hasilnya kebajikan akan berganda hasil royalti dan honorium yang diterima.
Bagi yang menolak royalti serta mampu mengekal ikhlas, lalu disunyikan tindakannya itu dari pengetahuan segala macam manusia, agar tidak terganggu hatinya dengan pujian menggunung. Jika diketahui sekalipun, hatinya tidak sama sekali terbekas dengan kata-kata manis manusia, tidak pula dia merasa dan memandang rendah kepada mereka yang menerima royalti.
Orang lain tidak perlu ukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan fikirkan tentangnya sentiasa.
· Pujian, nama dan selebriti
‘Aku menulis bukan kerana nama' Itulah laungan lagu yang sudah sekian lama kita dengari.
Pendakwah mungkin menulis di peringkat awalnya, hanya kerana Allah. Namun di ketika pujian mencurah-curah datang tanpa ditagih. Hatinya kian terganggu, bukan apa...
Terganggu apabila beberapa tulisannya tidak dipuji sebagaimana sebelumnya
Tatkala itu, keikhlasannya hancur. Tempatnya diambil oleh ‘Tuhan baru' iaitu ‘pujian' dan ‘sanjungan'. Redha manusia menjadi objektif barunya kini. Semuanya kerana dia menyedari sanjungan itu akan boleh membawanya kepada mencipta nama, bukunya boleh menjadi ‘best seller' kerana peminat fanatiknya itu, wang boleh mencurah jatuh ke atas ribaan.
Tatkala itu, diri sendiri seolah sudah memberi gelar kepada dirinya sendiri,
"aku sudah menjadi seorang selebriti kerana tulisanku"
Kalau tidak diakui sendiri, tatkala ada rakan lama yang berkata :
"wah!, engkau sudah jadi selebriti sekarang ini, tahniah"
Dengan kadar beberapa saat minda, hati dan perasaannya mengakui hakikat itu dan merasa sedikit bangga dengannya. Tanpa disedari, mengakui keselebritian diri itu tanda kita sedang ditipu oleh dunia. Lebih ‘sakit' apabila kebanjiran manusia yang membeli buku, melawat web atau blog, yang menjadi rakan di facebooknya, kemunculannya di TV dan Radio dilihat sebagai indikasi bahawa dirinya sudah layak bergelar ‘selebriti', ‘public figure' yang menggembirakan.
Apa yang patut dibuat sepatutnya adalah, hati wajib menafikannya serta segera menarik hati dan jiwa kepada persoalan berikut:
"Adakah aku sudah berjaya menjadi selebriti atau ‘public figure' penulis (atau penceramah) di sisi Allah, pada pandangan Allah?, Bukankah itu tujuan asal kita?"
Saya teringat kata-kata sahabat besar, iaitu Ibn Mas'ud r.a , ketika beliau keluar berjalan, kerap ada ramai yang mengikutnya, bagi mendapatkan ilmu darinya, lalu beliau berkata kepada khalayak yang mengikutinya:
علام تتبعوني؟ فوالله لو تعلمون ما أغلق عليه بابي ما اتبعني منكم رجلان
Ertinya : Atas sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku lagi. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)
Ertinya : Atas sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku lagi. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)
Justeru, maka sedarilah diri yang mudah lupa, Syaitan sentiasa berusaha menghancurkan kewarasan iman kita. Ikhlas kita sering menjadi sasaran sang Syaitan, untuk dilupuskan. Bukankah ia sebuah ujian yang sukar buat para pendakwah. ? Ya tentunya, malah mungkin lebih sukar dari ditangkap dan dipenjara jasad. Hati yang terpenjara dengan niat selain Allah adalah sebesar-besar kegagalan manusia, yang sepatutnya menjadi hamba dan khalifah Allah swt.
· Ahli akademik, Pangkat dan gelaran
Sebahagian pendakwah dari kalangan penulis terdiri dari golongan bijak pandai di Universiti, khususnya di fakulti-fakulti yang melibatkan Islam. Mereka banyak mengkaji dan menulis hasil kajian mereka dan seterusnya disiarkan melalui buku, jurnal, pembentangan di konferen dan seminar dan sebagainya. Niat asal tidak lain tidak bukan hanya mencapai redha Allah dan mencerahkan manusia kepada jalan keredhaan Ilahi. Merungkai yang kusut, menjernih yang keruh, melurus yang bengkok dan memurnikan yang bergolak.
Namun, sebagaimana pendakwah yang lain, kumpulan ini juga turut digoda dan akhirnya niat ikhlas tersasar dari landasannya.
Seorang pensyarah universiti terlihat saya sedang menulis dengan tekun lalu menyapa :
"Tengah menulis apa?"
"Tengah siapkan sikit lagi buku baru saya" jawab saya ringkas
"Buku tentang apa? Rugi kalau tulis sekarang ni, tunggulah dah siap PhD nanti. Tulis buku sekarang ini tak masuk dalam kiraan merit" katanya tanpa rasa malu dan segan.
"Berkenaan kewangan Islam, ooo ye ke tak masuk dalam merit, tapi tak mengapalah" jawab saya semula, cuba ambil hati beliau yang sibuk memikirkan soal merit.
"Tapi kalau rasa nak jual buku dan ambil royalti aja, pun ok juga" katanya lagi sambil tergelak kecil dan kemudiannya berlalu pergi.
Saya hanya mampu memberikan senyuman tawar kepadanya.
Saya sebenarnya sedikit kesal dengan mentaliti pensyarah sedemikian, jelas sungguh apa yang dalam benaknya hanyalah merit dan wang. Tidak terfikir olehnya kalau ada seseorang menulis kerana Allah dan mencapai redha Allah walau tidak peroleh merit ataupun royalti. Mungkin agaknya terlalu pelik di zaman ini? Mari sama-sama kita berusaha mencapainya..menjadi orang pelik di akhir zaman !
Memang ramai dari kalangan ahli akademik yang menulis kerana mengejar merit untuk melayakkan diri mendapat kenaikan gaji dan pangkat. Kerap kali terdengar perbincangan di kalangan mereka hanya berkisar tentang naik pangkat, mesti capai prof madya segera, naik gred gaji, jurnal antarabangsa dan seumpamanya,
Justeru itu, tulisannya digubah indah lagi rumit dipenuhi bahasa-bahasa akademik, katanya "khas untuk pembacaan bijak pandai". Ya itu perlu bagi menunjukkan kebijaksanaannya. Jurnal-jurnal menjadi ‘kegilaan' ahli akademik di zaman ini, begitu banyak senarai jurnal dalam catitannya, sama ada jurnal kelas tinggi, sederhana dan rendah.
Hidupnya di bilik sejuknya digadaikan untuk menghasilkan kajian dan penulisan cemerlang di mata majlis editor pakar sesebuah jurnal yang dicintainya. Jika tidak sedemikian, ada pula yang menulis untuk konferen besar, mulanya niat adalah untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat antarabangsa, agar mereka turut mendapat redha Allah, namun malang di pertengahan jalan, niat tersasar.
Populariti serta networking yang ditagih dalam konferen dan seminar besar yang dihadirinya, semua diniat untuk menambah kenikmatan dunia. Ya, harapannya untuk menaikkan pencapaian diri di dunia dengan kepujian, dilihat 'berjaya oleh sanak saudara dan taulan. Tidak lupa juga untuk membawa pulangan harta juga. Akhirnya, niat ikhlas kerana Allah menjadi semakin terpadam, sedikit demi sedikit hingga tidak tinggal satu apapun amalannya yang dilihat oleh Allah swt.
PENDAKWAH MELALUI POLITIK, JAWATAN DAN PANGKAT
Ada sekumpulan pendakwah, berjuang Islam dan mencari redha Allah melalui jalan politik, jawatan yang dipegang yang yang ‘ingin dipegang'.
Di dalam hati mereka seolah tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk mencapai maqam terbaik di sisi Allah, lalu jalan ini diambil selain jalan-jalan sampingan yang lain juga turut digunakan.
Namun liciknya Syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja puji orang bawahan.
Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘ tidak berjuang melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya.
Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi s.a.w bahawa ‘ujub itu menghancur amalan. Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain.
Sepatutnya, jika gelaran ‘mujahid' itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya, kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di sisi Allah. Orang yang berjuang boleh berdoa agar tergolong di kalangan pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang', itu bukan caranya. Biar Allah sahaja menentukan kita adalah pejuang atau tidak. Tugas kita adalah sentiasa memastikan kita layak melalui ikhlas dan rendah diri.
Cabaran pendakwah melalui medan politik memang besar, ia boleh datang dari pihak sekular yang membencinya, lalu digunakan kuasa untuk menekan dan mengancamnya. Ia juga boleh datang dari Syaitan durjana yang jauh lebih professional dari manusia yang terlihat dek mata.
Boleh sahaja, perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa' terlebih dari sepatutnya. Tatkala itu keikhasannya pudar dan semakin terpadam. Akhirnya takala dia sudah memegang kuasa, jawatan, apa yang dijanjikan kepada Allah sebelum ini dilupakan, kerjanya untuk mencapai redha manusia dan pengundinya menjadi semakin dominan berbanding redha Allah. Tatkala itu hancurlah dia pada pandangan Allah swt.
PENDAKWAH MENUNTUT ILMU
Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar dan terus belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri, dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara dalamnya.
Namun, seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan nabi sa.w.w agar berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari dan digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri dan seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu-ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatukannya.
Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah, dan semua pihak yang bersama Allah akan bersatu padu. Itulah formula yang ditegas oleh Allah swt :
وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً مَّا أَلَّفَتْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـكِنَّ اللّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ
Ertinya : Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka ( Al-Anfaal : 63)
Ertinya : Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka ( Al-Anfaal : 63)
Namun hari ini, Negara kita semakin ramai pendakwah dan ilmu yang digali dari pelbagai jenis Negara dan guru. Malangnya, manusia dan umat Islam khususnya tidak semakin tenang, tetapi semakin bergolak. Lebih tinggi ilmu mereka ini, lebih bergolak dan berpecah orang di bawahnya. Kerana apa?
Banyak sebabnya, boleh sahaja menyalahkan Syaitan dalam hal ini, namun tidak kurangnya adalah si ilmuan, pendakwah dan penuntut ilmu yang menuntut bukan ikhlas kerana Allah, tetapi atas kepentingan diri sendiri dan kumpulan yang dicenderunginya.
Dirinya merasakan sedang berjuang habis-habis menghapuskan kemungkaran dan kekeliruan dalam agama.
Dirasakan dirinya sedang adalah sentiasa di pihak yang benar lagi tepat. Hingga kebenaran yang dirasakan berada di pihaknya itu menghalalkan dirinya untuk menyesat, mengkafir, membid'ahkan dan menghukum orang dan pihak lain. Seolah tiada lagi ruang dan kemungkinan, kebenaran berada di pihak yang satu lagi.
Akhrinya, syaitan mengambil alih, mengubah niatnya dari menuntut ilmu secara ikhlas untuk mencapai redha Allah kepada menuntut ilmu agar boleh mempertahankan kumpulannya, ideanya, maruahnya, dan periuk nasinya. Lalu malang mereka...apakah yang boleh menyedarkan mereka ? Wallahu'alam.
KESIMPULAN
Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan buat sendiri. Cuma ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat.
Ia merupakan peringatan kepada salah satu cabaran terbesar buat para individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman dan virus Syaitan. Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah swt.
Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dahulu lagi, iaitu :-
إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد, فأُتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عمِلتَ فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى استشهدت, قال: كذبت, ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلّمه, وقرأ القرآن, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلّمته, وقرأت فيك القرآن, قال: كذبت, ولكنك تعلمت العلم ليقال: عالم, وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل وسّع الله عليه, وأعطاه من أصناف المال كله, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تحبّ أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك, قال: كذبت, ولكنك فعلت ليقال: هو جواد, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه, ثم ألقي في النار
Maksudnya (ringkasan terjemahan) :
Maksudnya (ringkasan terjemahan) :
Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid
Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar "SANG BERANI"
maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran"
Dijawab semula : Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar "QARI"
maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan kepada (orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"
Dijawab semula : "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN"
maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka ( Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)
Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis:-
أرأيت الرجل يعمل العمل من الخير، ويحمده الناس عليه؟ قال: "تلك عاجل بشرى المؤمن
Ertinya : Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin" ( Riwayat Muslim)
Ertinya : Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin" ( Riwayat Muslim)
Ibn Qayyim pernah berkata berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat."
Benarlah, bahawa ikhlas bagi adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan mukmin. Bagi lagi medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan pelbagai lagi. Namun semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar...
Sekian
No comments:
Post a Comment