Kenapa Mak tak Nangis??
Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membu...sung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang,
baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju
itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium
baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh
abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan
jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan
abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil
abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua
air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan
lengan sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun
hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan
membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali
terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah
menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian
membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang.
Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali
terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa
abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad
untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan.
Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi mak terima ucapan
takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan
yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu asyik
terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah
anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa
kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan
kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan
senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur
tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak
membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam
diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat
di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan
perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum
Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak
cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak
menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak.
kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak
boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah!
Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.
26 Februari 2011-
Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang
nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak.
Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah.
Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau
sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang
sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak
tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan
kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada
berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria
melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi
abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi
abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang
semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk
bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin
tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke
IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor,
tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak
angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak
juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad
tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak
cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa
cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah
semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun
sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi
ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran
manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor
untuk bawa Abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan
waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak
mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan
tanya, "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata
padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba.
Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan
kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju
Abang ke paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai
itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'!
Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang
yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak
tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba
itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat
duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15
minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu
mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air
mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"
Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu
depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya
mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin
naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar
kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara
sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang,
letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang
memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih
agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan
yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo.
Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak
kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung,
mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa
ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja
Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak
tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam
Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air
tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan
walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk
berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu
dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung
kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan
tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah
sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa
berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk
pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama
Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk
benarkan Kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya
berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak
diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat
abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan
sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk
lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat
Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah
hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan
alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan
sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura rajin
menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang menawarkan
diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama
jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang.
Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang
turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi
tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi
abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu,
semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat
naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan
keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di
dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat.
Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak
menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak
katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak
perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang.
Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak
puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga
bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu
mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan
menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun
abang sudah tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak
pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang
dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah
tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul
8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan
Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah
tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga
turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum
seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah
rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah
matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu
kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba
jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak
terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum
sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"
Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan
segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang.
Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu
sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang
sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi
Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula
meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis,
keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan
seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak
mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan
jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis
di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan
lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di
penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang
ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup
tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang
menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata
mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."
Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman
tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.
Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang
di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang.
Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak
sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah
di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan.
Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai
seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan
dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan
tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan
menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa
dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan
kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya
keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri
segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri
yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu
mak tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak
dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa
tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup
kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal
Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital
seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung
termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit.
Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan
ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati'
apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor
mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun
ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk
meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan
(bapa).
Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.
Sebuah kisah benar menyayat hati yang melambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya
No comments:
Post a Comment