Di dalam Tazkirah Sheikh Ramadan Al-Buti di KUIS baru-baru ni juga ada menceritakan mengenai Malik Bin Dinar. Penceritaan tentangnya adalah panjang, jadi sekadar dapat ana ringkaskan melalui kisah pertengahan penceritaan Al-Syeikh, tika mana Malik Bin Dinar mengembalikan semula hak milik barang yang dicurinya.
Maka, sudah pastinya raut wajah kegembiraan terpancar pada wajah mangsa si pencuri tersebut. Kemudiannya, dengan keadaan sedemikian rupa, Malik Bin Dinar mengungkapkan “ Aku berharap kegembiraan yang terpancar di wajahmu diiringi dengan doa ke atasku bagi mendapatkan keredhaan ALLAH” .
Seketika kemudian, Malik Bin Dinar kembali ke rumahnya dan tidur. Dengan tidak semena-mena keinginan untuk mempunyai seorang anak perempuan terbit dalam dirinya. Namun adalah suatu yang mustahil untuk dirinya berkahwin ketika itu kerana dirinya yakin tiada seorangpun yang ingin menjadikannya menantu atas sebab kejahatannya. Malik Bin Dinar akhirnya membeli seorang hamba perempuan dan melalui hamba inilah lahirnya seorang anak perempuan seperti yang diingini Malik selama ini.
Sesungguhnya suatu kegembiraan bagi dirinya melihat anaknya membesar, merangkak di hadapannya. Suatu ketika, anak perempuannya itu telah mengambil botol arak lantas menumpahkan arak tersebut di atas baju bapanya. Jelas di sini, biarpun sudah sekian lama masa berlalu, bapanya masih lagi dengan tabiat lamanya ( minum arak ) sehinggalah kematian anaknya pada suatu saat yang mengakibatkan diri Malik menjadi semakin teruk dan berterusan dengan kemabukannya. Diringkaskan kisahnya, suatu hari tika Malik bermimpi ( dinyatakan Al-Syeikh seakan-akan akhirat tempatnya ), kelihatan ular mengejar dirinya dan Malik lantas melarikan diri.
Di pertengahan jalan, Malik Bin Dinar bertemu dengan seorang orang tua tetapi tiada sebarang pertolongan pun yang dapat diberikan oleh orang tua itu kepadanya. Dalam pelariannya dari ular tersebut, akhirnya.....
Akhirnya, Malik menjumpai suatu tempat yang ada padanya tirai yang dilabuhkan. Apabila tirai dibuka, kelihatan seakan-akan anak perempuannya menghalau ular tersebut dan sebelah tangannya lagi dihulurkan untuk membantu bapanya.
Dalam menghulurkan bantuan tersebut, ada perkongsian bicara dari anak perempuan itu mengenai firman ALLAH tentang zikrullah ( ana kurang jelas ayat Quran yang dinyatakan) yang mampu membuatkan Malik sedar akan kesilapan dirinya. Malik bertanya tentang apa yang berlaku dan anaknya menjelaskan bahawa orang tua yang tidak memberikan pertolongan pada dirinya di sepanjang jalan tadi adalah merupakan amalan baiknya yang belum cukup untuk membantu dirinya. Mulai saat itulah Malik Bin Dinar benar- benar kembali pada jalan RABBnya yang AGUNG sehingga mampu menjadi pembantu agama ALLAH yang sebaiknya.
Nantikan siri ke 3..
No comments:
Post a Comment