Pages

Wednesday, March 3, 2010

Mufti perjelas isu murtad pembunuh zuriat

KUALA LUMPUR: Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, hari ini menjelaskan bahawa pelaku yang membuang dan membunuh bayi mereka hanya akan terkeluar daripada Islam jika mereka beriktikad bahawa ia adalah halal.

Beliau berkata, iktikad bermaksud dengan yakin beranggapan bahawa perbuatan haram yang dilakukan itu adalah halal dan secara tidak langsung mereka telah murtad atau terkeluar daripada Islam.

"Jika ia telah disepakati oleh ulama dan diketahui umum bahawa perbuatan membunuh itu haram tetapi pelakunya dengan yakin beranggapan ia adalah halal, ia boleh membawa seseorang itu kepada murtad," katanya ketika dihubungi hari ini.


Bagaimanapun, beliau berkata jika pesalah yang melakukan pembunuhan tetapi tidak beriktikad sedemikian maka mereka menanggung dosa besar.

Semalam, Hassan menjelaskan perbuatan membunuh terutama zuriat sendiri oleh mereka yang siuman dan bukan cacat akal amat ditegah oleh agama Islam dan diketahui ia adalah dosa besar hanya disebabkan oleh gagal mengawal emosi.

Beliau turut menasihati golongan muda supaya mendalami ilmu dan berpegang kepada ajaran agama Islam supaya tidak terus hanyut dengan nafsu muda. - Bernama

SUMBER: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20100303193019/Article/index_html

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails