Tanjong Malim, 14 Jan- “Alhamdulillah, Allah s.w.t telah permudahkan segala urusan arwah Fadhiri dan Faizol. Insya-Allah, moga-moga Allah menerima kebaikan yang telah mereka lakukan dan mengampunkan dosa-dosa mereka,” kata seorang saksi kejadian kemalangan maut yang lepas. Menurut seorang lagi saksi iaitu Suhainizam Sharif ketika ditemui berkata, kedua-dua arwah hanya melafazkan nama-nama Allah sebelum kedua-dua mereka meninggal dunia. Saudara Faizol sempat mengangguk-anggukkan kepala apabila dibacakan kalimah LailahaillAllah (tiada Tuhan melainkan Allah).
“Allah telah memberikan kesempatan kepada saya untuk membisikkan perkataan mulia ini kepada saudara Faizol ketika saat-saat akhir arwah di dunia ini. Apabila berlakunya kemalangan, saya terus mendapatkan Faizol dan membisikkan kalimah LailahaillAllah. Alhamdulillah, arwah mengangguk-angguk tanda faham dan terus pergi meninggalkan kita semua,” katanya dengan sebak.
“Bagi arwah Fadhiri pula, saya mencabut topi keledar yang dipakai dan memangku arwah serta membisikkan kalimah yang sama. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan arwah ke Hospital Slim dan Hospital Teluk Intan, mulut arwah tak pernah lekang dengan menyebut nama-nama Allah sehinggalah beliau pergi,” kata saksi yang mengiringi arwah ke Hospital Slim dan Hospital Teluk Intan pada hari kejadian.
Bagi saudara Nik Azrul Nik Kamaruddin pula, beliau melihat betapa mudahnya Allah s.w.t memudahkan urusan arwah dan melihat ramainya tetamu yang hadir untuk menyolatkan kedua-dua arwah.
“Apabila saya melihat segala urusan arwah dipermudahkan dengan baik dan betapa ramainya tetamu yang hadir ketika menyolatkan mereka, hati saya tenang dan bersyukur pada Allah. Arwah Faizol disolatkan sebanyak dua kali di surau Al-Falah manakala arwah Fadhiri pula sehingga orang ramai melimpah keluar dari kediaman beliau termasuk dari pelajar-pelajar pondok yang pernah beliau menuntut ilmu,”
“Di kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada pihak HEP UPSI dibawah kepimpinan Prof. Shaharuddin kerana banyak membantu urusan arwah. Tidak lupa kepada yang menziarahi beliau sama ada dari UPSI mahupun daripada luar. Semoga Allah, menerima mereka dan menjadi iktibar untuk kita semua, insyaAllah,” tambahnya lagi.
UPSI
.....
UPSI
.....
No comments:
Post a Comment